Friday, February 6, 2009

KEM PLKN MIRI - PPSB BERMULA 23-25 FEBRUARI 2009

Pertama-tama saya mengucapkan kalungan tahniah kepada rakan-rakan yang dipilih oleh DBP Malaysia bagi menjayakan program tersohor sastera negara kepada warga muda kita di Malaysia. Saya sama-sama tumpang bangga di atas kejayan kita bersama-sama biarpun sekelumit jasa kita titikkan kepada program ini. Memang banyak kekangan dan halangan seperti pelepasan Ketua Jabatan, program kita sendiri, bencana alam seperti banjir,dan lain-lain lagi. Tetapi itu bukanlah alasan kita lalai atau buat sambil lewa apabila ditawarkan sebagai pembimbing program ini. Wang bukanlah segala-galanya biarpun,kalau tiada wang mungkin kita akan menolak program ini kalau dibuat secara sukarela tanpa honorarium. Tapi itu bukanlah kita kejar. Yang penting puas hati dalam memartabatkan sastera bangsa yang kian terpinggir. Ramai orang tahu tetapi tidak ambil peduli apa yang ia tahu. Perlu diingat bahawa ini adalah tahun ke-5, PPSB telah dijalankan di kem-kem khidmat negara. Suatu kebanggan yang kita kongsi bersama bahawa sastera masih melekat di pemikiran para tokoh pemimpin bangsa kita. Tidak malu dikatakan kalau bangsa yang tidak mengenali sasteranya sendiri maka ia akan menjadi bangsa yang mundur dan terpinggir. Tidak mempunyai harga diri.
Rakan-rakan fasilitator yang dipilih ke Kem Miri pada tarikh di atas yang telah dihubungi oleh Penyelaras Negeri Zon II atau DBP sila laporkan diri kepada saya KF di kem ini secepat mungkin. Bagi yang sma-sama ke Kem Similajau pada 16-18 Februari 2009, bolehlah beritahu saya akan kehadiran sekalian.
Saya menyeru kepada rakan-rakan agar lebih komitted dan bersedia akan segala kemungkinan. Selain itu menguasai apakah yang akan kita didik dan kongsikan bersama wira-wirawati di kem. Bahan yang kita bakal gunakan, sediakan dalam 2 pilihan agar tiada pertindihan, selain pengisian yang teliti dan meyakinkan. Masa hanya 10 minit, tiada kompromi. Studi dengan teliti dan buat "homework" kerja itu.Biodata ringkas juga sediakan, untuk digunakan ketika pengenalan. Kuasai mana-mana bahagian kandungan pengisian PPSB, kemudian bersedia membantu menyampaikan kepada pelatih selain, bidang seni yang mahu diperkenalkan. Jangan ambil mudah.Displin kita seperti menepati masa amat penting, menlengkapi segala dokumen arahan KF, bekerjasama dengan KF dan lain-lain urusan PPSB mestilah kita hadapi dan redah bersama di kem itu. Hindari diri dari melakukan hal-hal yang memalukan diri dan juga program. Bukanlah nasihat yang luar biasa, tetapi berkongsi pengalaman sahaja. Jangan lagi diulangi kisah lalu yang banyak kali kita diteguri, seolah-olah anak kecil yang tiada telinga dan hati. Hubungi saya di talian atau emel yang diketahui. Selamat bertugas, salam sastera dan budaya.

Saturday, January 31, 2009

SUARA RAKYAT KECIL

BISIKAN KECIL KEPADA PEMIMPIN BANGSAKU

Betapa nyilunya menusuk-nusuk
dinding hati anak bangsaku
bila pemimpin bangsanya yang bermaruah
saling bersengketa mengejar kemewahan dunia
hingga sanggup menginjak maruah sesama manusia
kalau dulu kawan sejati kini seteru dikeji
kalau dulu kawan semeja kini tidak lagi bertegur sapa

Hati rakyat kian melara
melhat permainan politik cantas-mencantas
sesama bangsa beradat bangsa ternama
kita saling melakonkan “dekon hodoh” di pentas moden
pada skrip cerita yang tetap sama kita tontoni
lupakan pemimpin pada sejarah kisah lama?
kerana ghairah berkuasa lalu negara dijajah dan rakyat jadi hamba

Kalaupun diberikuasa janganlah untuk memperkosa
apabila turun takhta maka teruslah berjasa
jangan gah pada pangkat dan terus memburu harta
hingga terlontar bahasa luka yang mendukakan bangsa

Manakah budi bahasa, kita bangsa ternama?
manakah adab susila, kita kelahiran bangsa?
manakah keramahan timur, yang kita banggakan?
kalau pemimpin asyik bertelagah bukan untuk membela bangsa
untuk dinobatkan pemenang yang gagah berkuasa
biarpun kalah jadi arang menang jadi debu
umpama gajah sama gajah berlawan, pelanduk di tengah-tengah pengsan
haruskah rakyat meneruskan hayat perjuangan pemimpin ini?

Karya oleh;

Poul Nanggang,
Pondok Setia PUTERA, Jalan Riam, Miri.
22 Ogos 2008

CONTOH BORANG ULASAN MCP

Borang KF (4)
BORANG ULASAN PERSEMBAHAN( MCP)
(OLEH KETUA JURI MERANGKAP KETUA FASILITATOR)

Nama Ketua Juri: Encik Poul Ak. Nanggang.
Nama Kem: Kem PLKN Miri, Sungai Rait, Miri, Sarawak.
Tarikh Persembahan: 23 Ogos 2008 Peringkat: P3

1. Ulasan tentang Deklamasi Sajak dari segi:
• suara(vokal intonasi, nada dan kebocoran)
• Gaya/Teknik(mimik muka, penghayatan, bahasa tubuh dan penampilan)
Dalam PPSB kali ini, sajak moden yang bertajuk “Anak Jiran Tionghua” yang diberikan tumpuan dalam Malam Penghayatan Kemerdekaan yang menggantikan Malam Citra Puisi yang sekian lama mendominasi program ini. Penyajak telah menunjukkan segala apa yang dijelaskan di atas. Suara yang digunakan pada malam itu mantap. Sememangnya pilihan yang bijak. Hanya gaya agak kurang sedikit, ada perasaan malu yang menebal yang ditunjukkan oleh pendeklamasi kerana beliau tidak menghadap audiensnya tetapi menghadapi secara sisi badan sahaja. Bahasa tubuh jelas dan penampilan amatlah menyakinkan juri.

2. Ulasan tentang Puisi Tradisional yang menjadi sisipan (di bahagian intro/penutup persembahan).
Persembahan yang digunakan ialah “Seloka Pak Pandir” sebagai inti persembahan dan dimulai dengan bacaan nazam. Persembahan nazam tidaklah begitu baik, sekadar sebuah percubaan yang harus dipuji dalam kesulitannya, masih juga terus mencuba dan berusaha dalam tempoh yang terhad. Sementara “Seloka Pak Pandir” bolehlah dianggap berjaya ke pentas. Akan tetapi pengulangan-pengulangan lagu ini akan membosankan, walaupun diselamatkan oleh “aksi-aksi” gerak kreatif yang menghiasi pentas pada persembahan ini. Format Malam Penghayatan Kemerdekaan, telah memberikan peluang genre puisi tradisional menampilkan diri secara sepenuh wajahnya di kanvas pentas persembahan tanpa dikerat-kerat pendek atau penampal persembahan sahaja.

3. Ulasan tentang persembahan secara kumpulan (melihat bagaimana elemen-elemen seni yang sesuai digabungkan secara kreatif dalam persembahan)
Setiap kumpulan telah menunjukkan kreativiti masing-masing dengan gaya persembahan tersendiri untuk mengutarakan kehendak PPSB mengikut konsep kali ini. Secara umumnya, semua berjaya menonjolkan persembahan yang menyakinkan walaupun tidak mencapai tahap “luar biasa”. Pujian haruslah diberikan kepada kumpulan yang berkenaan di atas kesungguhan dan komitmen menjayakan kehendak PPSB kali ini. Nyatalah bahawa fasilitator telah berjaya menuangkan sedikit ilmu dan pengetahuan seninya untuk dikongsi dalam persembahan dengan pelatih di kem ini pada kali ini. Ini bukanlah pujian yang melulu tanpa asas.

4. Ulasan tentang aspek kreativiti (meliputi set/prop, kostum, tatarias [make-up] dan sebagainya.
Set atau kostum yang digunakan adalah sederhana sahaja. Tetapi aspek kreativiti tidak mati dalam persembahan mereka. Apa yang jelas ialah mesej kemerdekaan yang menjadi objektif utama pencapaian persembahan yang dicadangkan oleh pihak PPSB kepada fasilitator yang mengangkat karya itu ke pentas dibantu oleh para pelatih kali ini. Saya rasanya agak kagum dengan usaha Kumpulan “Panggau Libau” hasil minda Wan Hairulhaizam yang dalam masa singkat dapat mempersembahkan lagu puisi dari karya A. Samad Said bertajuk, “Pertama Dan Terakhir”. Bagi saya suatu yang luar biasa usaha mereka. Dalam kekurangan, jelas mereka menampakkan kehebatan dan sentuhan kreatif yang cukup cantik susunan lagu puisinya.

5. Ulasan tentang Aspek Pengurus Persembahan( Dari sudut kelancaran dan keharmonian persembahan, keterlibatan semua peserta, “team work”/kerjasama ahli kumpulan serta keupayaan menepati tempoh masa yang diberikan dan sebagainya.
Apa yang saya nampak, saya amat berpuas hati dengan apa yang kita saksi dan lihat pada malam itu. Usahan penambahbaikan memang namapak, kecacatan kecil juga ada tetapi masih tidak mengganggu perjalanan persembahan. Kumpulan dan fasilitator telah mencuba mengatasinya, walaupun ada “rintangan tiba-tiba” yang menjelma di luar jangkaan yang sedikit merencatkan warna persembahan itu. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini, akan tetapi itu realitinya kadang-kadang dalam persembahan akan muncul perkara-perkara yang tidak diingini seolah-olah menduga mata seni kita untuk menilai dan mengungkapnya.


6. Ulasan keseluruhan sama ada persembahan peserta Menepati Modul Program sebagaimana yang telah ditetapkan atau sebaliknya.
Pada kali ini, PPSB mengubah struktur modul program dengan mengarahkan kepada penghataran kemerdekaan. Lagu puisi, lagu patriotik, deklamasi puisi, koir, persembahan puisi tradisional yang menjadi kehendak program kali ini, bagi saya selaku KF amat berpuashati dengan usaha-usaha fasilitator dan pelatih dari kem ini dalam mengangkat karya patriotik ke atas pentas sempena hangat bulan kemerdekaan kepada anak bangsa kita.

7. Rumusan (disebut sebagai motivasi kepada semua peserta berhubung dengan persembahan dan kaitannya dengan objektif program serta realitinya dalam kehidupan pelatih).
Saya berpendapat PPSB kali ini berjaya dalam seni persembahan bercorak sastera “per se”. Bayangkan dalam kurang daripada 18 jam sahaja mereka didedahkan kepada kehendak fasilitator dari PPSB untuk mengangkat sebuah persembahan sebagaimana arahan pihak atasan PPSB, ia telah diterjemahkan dalam manifestasi pada “Malam Peghayatan Kemerdekaan” yang bagi saya amat saya kagumi pengisiannya dengan bakat, kreatif dan komitmen semua yang terlibat. Usaha dan kesungguhan mencuba dengan sehabis baik, telah menghasilkan persembahan yang boleh dibanggakan untuk santapan minda seni kita. Kita bukan sahaja makan untuk tubuh badan, tetapi makanan seni dalam kehidupan sastera juga harus dikenyangkan. Inilah sebahagian daripada kehidupan kita di dunia reality atau dunia yang sebenarnya.


Catatan
*Borang ini hendaklah dikemukakan bersama dengan Laporan KF (sebagai lampiran)

AWAL KALAM DARI GURKHA PPSB ZON UTARA SARAWAK

Salam sejahtera dan salam sastera budaya merentas akal minda.
Pertama-tama saya mengucapkan terima kasih teman-teman fasilitator PPSB dari Zon Utara Sarawak yang dapat dipaparkan wajah mereka di sini. Ada yang mulai mengharungi amanah murni ini sejak 2005 lagi, di peringkat awal PPSB dilancarkan. Ini sebagai dokumentasi peribadi masing-masing dan suku-sakat kita yang pernah mengharungi ombak samudera sastera budaya dalam PPSB. Andai kita masih ada dalam bahtera PPSB atau tidak waktu ini, anggaplah sebuah nostalgia yang cukup indah dalam hidup yang kita pernah lalui. Perlu diketahui bahawa apa-apa juga dipaparkan dalam blog ini bukan pandangan mutlak daripada PPSB yang diwakili oleh DBP Kuala Lumpur. Tapi ini adalah bisikan rasa daripada kami sebahagian anak manusia yang sama-sama pernah berhujan dan berpanas dalam memartabatkan budaya bangsa dengan imbalan daripada yang berkenaan. Pernah bertegang urat dan sama-sama bersenda gurau dalam suasana dan ketika tertentu. Seandainya ada coleteh, imej atau suara bicara rasa daripada kami yang diluahkan di sini agak lantang dan kencang, maafkan kami kerana semua itu bukan suara mutlak PPSB tetapi adalah gundah-gulana di kalangan kami di sini. Kalau ada teman-teman PPSB yang rasa tersinggung dengan kewujudan kami sebagai gurkha sastera yang setia. Kami bukan mahu merampas kuasa, kerana kami lahir sebagai soldadu biasa bukan duduk sebagai General yang kuasa, maafkanlah kami kalau kami kurang bijaksana dan berakal budi.Tidak sedikitpun niat melukaikan hati sesama manusia. Tetapi apa yang penting ialah kepuasan kami memartabatkan sastera dan bahasa bangsa. dan turut serta seperti mana warganegara yang berjasa. Kami tidak tumpahkan darah atau catur nyawa tetapi kami tumpah minda, keringat hangat dan kesetiaan cinta kami kepada sastera budaya bangsa. Tanpa itu, kami tidak akan dapat lesen dan kontrak jadi fasilitator PPSB yang gah dan hebat ini.
Panjang coleteh saya, cukup setakat ini sahaja rasanya . Kalau ada komen atau mahu melontarkan kata-kata keramat kepada kami, silakan. Kita terbuka sahaja, sesiapa sahaja yang melayari blog ini, tenaga birokrat dari DBP atau orang-orang berasai dirinya penting yang sentiasa memata-matai jejak langkah kami dalam PPSB, juga para pelatih PLKN yang pernah kami didik sedetik dengan ilmu sastera di Kem Sungai Rait Miri, Miri; Kem Similanjau,Bintulu; Kem Bumimas, Sibu dan Kem Junaco, Sibu dan tuangkan setitik ilmu serta sekelumit kebijaksanaan beberapa waktu yang berlalu. Salam sastera dan budaya.Akhir kalam saya, harimau mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama. Hidup PPSB.