Saturday, January 31, 2009

AWAL KALAM DARI GURKHA PPSB ZON UTARA SARAWAK

Salam sejahtera dan salam sastera budaya merentas akal minda.
Pertama-tama saya mengucapkan terima kasih teman-teman fasilitator PPSB dari Zon Utara Sarawak yang dapat dipaparkan wajah mereka di sini. Ada yang mulai mengharungi amanah murni ini sejak 2005 lagi, di peringkat awal PPSB dilancarkan. Ini sebagai dokumentasi peribadi masing-masing dan suku-sakat kita yang pernah mengharungi ombak samudera sastera budaya dalam PPSB. Andai kita masih ada dalam bahtera PPSB atau tidak waktu ini, anggaplah sebuah nostalgia yang cukup indah dalam hidup yang kita pernah lalui. Perlu diketahui bahawa apa-apa juga dipaparkan dalam blog ini bukan pandangan mutlak daripada PPSB yang diwakili oleh DBP Kuala Lumpur. Tapi ini adalah bisikan rasa daripada kami sebahagian anak manusia yang sama-sama pernah berhujan dan berpanas dalam memartabatkan budaya bangsa dengan imbalan daripada yang berkenaan. Pernah bertegang urat dan sama-sama bersenda gurau dalam suasana dan ketika tertentu. Seandainya ada coleteh, imej atau suara bicara rasa daripada kami yang diluahkan di sini agak lantang dan kencang, maafkan kami kerana semua itu bukan suara mutlak PPSB tetapi adalah gundah-gulana di kalangan kami di sini. Kalau ada teman-teman PPSB yang rasa tersinggung dengan kewujudan kami sebagai gurkha sastera yang setia. Kami bukan mahu merampas kuasa, kerana kami lahir sebagai soldadu biasa bukan duduk sebagai General yang kuasa, maafkanlah kami kalau kami kurang bijaksana dan berakal budi.Tidak sedikitpun niat melukaikan hati sesama manusia. Tetapi apa yang penting ialah kepuasan kami memartabatkan sastera dan bahasa bangsa. dan turut serta seperti mana warganegara yang berjasa. Kami tidak tumpahkan darah atau catur nyawa tetapi kami tumpah minda, keringat hangat dan kesetiaan cinta kami kepada sastera budaya bangsa. Tanpa itu, kami tidak akan dapat lesen dan kontrak jadi fasilitator PPSB yang gah dan hebat ini.
Panjang coleteh saya, cukup setakat ini sahaja rasanya . Kalau ada komen atau mahu melontarkan kata-kata keramat kepada kami, silakan. Kita terbuka sahaja, sesiapa sahaja yang melayari blog ini, tenaga birokrat dari DBP atau orang-orang berasai dirinya penting yang sentiasa memata-matai jejak langkah kami dalam PPSB, juga para pelatih PLKN yang pernah kami didik sedetik dengan ilmu sastera di Kem Sungai Rait Miri, Miri; Kem Similanjau,Bintulu; Kem Bumimas, Sibu dan Kem Junaco, Sibu dan tuangkan setitik ilmu serta sekelumit kebijaksanaan beberapa waktu yang berlalu. Salam sastera dan budaya.Akhir kalam saya, harimau mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama. Hidup PPSB.

No comments:

Post a Comment